top of page
Search
  • Writer's pictureniksyafiq3

Tampil dalam filem pertama, Baby Shima tidak selesa dianggap "pelaris".


Bakat dan nyanyiannya sering didendang. Lincah tarinya diminati sehingga ke negara seberang. Walau sering terpalit pelbagai cerita kontroversi, ia tidak menghalang pemilik nama Nor Ashima Binti Ramli, atau lebih dikenali dengan nama Baby Shima mencuba pelbagai cabang seni untuk menguji kemampuan diri.


Terbaharu, pelantun lagu Pura Pura Bujang yang telah mencecah hampir 30 juta tontonan di Youtube ini mencuba nasib dengan penampilan di layar perak. Mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 13 Oktober ini, filem “Biko” arahan Teng Bee menjadi pertaruhan sulung Baby Shima sebagai anak wayang.


Mengakui pengalaman pertama sebagai pelakon filem merupakan sesuatu yang agak mencabar, penyanyi berusia 24 tahun yang mesra disapa Shima ini sangat teruja dengan pengalaman baru tersebut.


“Mulanya saya memang terasa agak sukar. Berlakon dan menyanyi merupakan dua perkara yang sangat berbeza. Ketika menyanyi di pentas, ia lebih kepada enjoy dengan bunyi muzik dan berhibur dengan orang ramai yang menonton. Bila berlakon, saya harus fokus kepada karakter watak yang dibawakan. Lebih-lebih lagi dalam filem ini, Shima membawakan watak sedih, banyak menangis, dan ia sangatlah berbeza dengan perwatakan Shima dalam dunia nyata yang ceria dan suka ketawa.”



“Tetapi, mengenai lakonan ini, projek ini Shima lebih kepada cuba-cuba sahaja, kerana fokus karier Shima tetap kepada nyanyian. Sewaktu penggambaran filem Biko, ia berlangsung ketika negara kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi Shima memang tiada undangan nyanyian.”


“Selepas ini, kalau ada yang nak panggil berlakon pun, Shima perlu letak syarat. Hujung minggu jadual Shima padat dengan undangan persembahan nyanyian. Jadi kalau nak berlakon pun, tidak boleh clash dengan jadual persembahan. Kalau ada penerbit atau pengarah setuju dengan syarat tersebut, mungkin Shima akan mempertimbangkan tawaran lakonan mereka,” ujar Shima yang digandingkan bersama Azrel Ismail, Syed Irfan dan Sara Ali dalam filem lakonan sulungnya.


Lumrah selok belok perniagaan dalam dunia hiburan, elemen sensasi sentiasa digunakan sebagai pelaris jualan. Namun, Shima ternyata tidak begitu selesa dengan jika dirinya dianggap sebagai pelaris dalam apa jua produk disebabkan pelbagai cerita sensasi yang sering dikaitkan dengan dirinya.



“Kebanyakan cerita sensasi yang timbul bukan berpunca dari Shima. Contohnya, bila Shima terasa ingin menari, Shima menari sahaja, dan akan memuatnaik video tersebut ke media sosial. Bila ada sesetengah wargamaya mengkritik video tersebut, perkara jadi besar dan mendapat liputan pihak media. Dari situ, ramai ingat Shima sengaja cipta kontroversi dan menyalahkan Shima.”


“Kalau orang kata atas sebab itu Shima jadi pelaris, Shima tidak tahu macam mana fikiran penerbit. Bagi Shima, perkara paling penting tetap bakat kita.”


“Jadi, kepada haters yang tidak henti mengutuk Shima, Shima tidak kisah kalau anda semua tetap mahu membenci Shima, kerana Shima faham memang kita tidak boleh buat semua orang suka dengan kita. Bila buat video menari gelak, kena kecam. Tapi, bila Shima buat video dengan kucing pun, orang tuduh Shima dahaga perhatian pula,” luah Shima.


“Buat semua yang menyokong Shima, terima kasih banyak-banyak dan jangan lupa menonton filem Biko nanti”, katanya lagi.


Ikuti Baby Shima di laman sosial beliau:



64 views0 comments

Comments


bottom of page