top of page
Search
  • Writer's pictureniksyafiq3

Raysha Rizrose mahu mula karier nyanyian, impi berlakon dengan Reza Rahadian.


Kesibukan jadual harian sebagai anak seni tidak menghalang pelakon, Raysha Rizrose, 26, untuk mengimbangi komitmen kerja dan kehidupan peribadi. Selain menerima tawaran berlakon yang tidak pernah putus, adik kepada Uqasha dan Nelydia Senrose ini tidak terlepas daripada usikan dan pertanyaan mengenai kisah cinta dan perkahwinan.


“Nak kata rimas, tidaklah, cuma saya pun dah tak tahu nak jawab apa. Pergi mana-mana pun orang akan tanya saya soalan bila nak kahwin, terutamanya selepas Uqasha selamat bergelar isteri sebelum ini”, ujarnya merujuk kepada perkahwinan kakaknya dengan pelakon Kamal Adli November lalu.


“Apa yang boleh saya katakan, Inshallah suatu hari nanti bila tiba masanya. Kakak-kakak saya pun buat masa sekarang memperlahankan sedikit aktiviti mereka dalam bidang seni kerana fokus kepada kehidupan sebagai isteri. Bagi saya, masih terlalu banyak cita-cita yang ingin saya capai sebelum settle down”, tambah Raysha yang sudah hampir 10 tahun menjalin hubungan dengan cinta dengan pelumba kereta dan ahli perniagaan, Nabil Jeffri.



Memulakan kerjaya lakonan lebih 10 tahun lalu, nama Raysha melonjak selepas bergelar juara program realiti popular Dewi Remaja 2014/15. Disebalik kepelbagaian watak yang pernah dijayakan dalam filem dan drama sebelum ini, Raysha masih menyimpan beberapa impian besar untuk dicapai dalam kerjayanya.


“Saya mahu terus memperbaiki kualiti lakonan saya. Salah satu impian saya, nak berlakon dalam filem aksi. Selain itu, teringin juga nak bekerja dan belajar dengan produksi luar, berlakon dalam drama atau filem Indonesia contohnya”, kata Raysha yang mengimpikan untuk berganding dengan pelakon tersohor dari Indonesia, Reza Rahadian.


“Tak salah berangan kan? Saya nak sangat tengok cara bagaimana pelakon sehebat Reza bekerja dan membawa diri dalam set. Ia satu cita-cita yang besar namun pastinya tidak mustahil kalau saya terus bekerja keras”, tambahnya lagi.


Seperkara yang ramai tidak tahu mengenai Raysha, anak keempat dari tujuh beradik ini mempunyai bakat dalam bidang nyanyian. Mula mengikuti kelas vokal sejak usia remaja, Raysha cukup teliti dan berhati-hati dalam memilih naskah yang sesuai untuk memulakan langkah serius dalam bidang seni suara.



“Saya masih mencari komposer yang sesuai untuk single pertama saya. Saya mahukan lagu yang betul-betul bagus dan sesuai untuk saya bawakan. Mungkin sebab itulah sampai sekarang belum jumpa lagi. Kalau ada nanti, saya harap ia akan menjadi lagu yang diingati. Saya tak mahu ambil produk tangkap muat semata-mata kerana ingin bergelar penyanyi” ujar Raysha panjang lebar.


Ditanya mengenai inspirasi dalam bidang nyanyian, Raysha menjadikan Aina Abdul dan Datuk Sri Siti Nurhaliza sebagai idolanya. Selain itu, gadis tinggi lampai ini mengimpikan untuk menyanyikan lagu ciptaan Melly Goeslaw.

“Namun sejujurnya, kerana komitmen saya sebagai pelakon, saya tidaklah meletakkan jangkaan atau cita-cita yang terlalu besar dalam bidang nyanyian. Cuma, ini merupakan salah satu minat saya dan pastinya saya mahu mencuba. Inshaallah, saya mahu cuba yang terbaik dan mengharapkan sokongan dari para peminat”, kata Raysha mengakhiri perbualan.


Ikuti Raysha di laman Instagram beliau

37 views0 comments

Opmerkingen


bottom of page