top of page
Search
  • Writer's pictureniksyafiq3

Pernah Diusik "Gemuk", Asha Merican mahu terus berlakon hingga ke Hollywood

Updated: Jun 10, 2022


Memulakan langkah dalam kerjaya seni sebagai model dan pelakon iklan komersial, peluang Asha Merican, 25, untuk bertapak lebih jauh dalam industri hiburan semakin terbuka luas selepas menyertai program terbitan Astro, On Air kira-kira empat tahun lalu.


Menerusi program tersebut, bakat Asha dihidu penerbit terkenal, Fadzil Teh yang memberikan peluang kepadanya memegang watak pelakon pembantu menerusi drama Rindu Yang Terlarang.


Sebagai muka baru ketika itu, Asha mengakui mulanya agak kurang keyakinan diri untuk terus menceburkan diri dalam bidang lakonan, namun mendapat kekuatan hasil dorongan Fadzil, atau mesra dipanggil Hj Zeel yang berterusan memberikan dorongan kepadanya.


“Selepas drama Rindu Yang Terlarang, Hj Zeel memberikan tawaran pula kepada saya untuk berlakon dalam telefilem Pemuja Rahsia , drama Juliet, dan Tak Sempurna Mencintaimu. Alhamdulillah sedikit sebanyak saya mula dikenali dari situ.”, kata Asha yang turut mendapat perhatian dari pengarah terkenal Michael Ang yang menawarkannya watak dalam drama Marry Me Senorita dan The Hotel.



Karier Asha Merican semakin mekar dalam bidang lakonan

“Tetapi pada awalnya, bayangkan, sewaktu saya berlakon drama Juliet, saya bergandingan dengan Haliza Misbun. Waktu itu saya rasa terlalu kerdil jika dibandingkan dengan beliau. Saya sampai menangis kerana merasa sangat tertekan bila dikelilingi pelakon yang hebat-hebat. Sampai pernah saya terfikir untuk berhenti berlakon”, kongsi Asha.


“Alhamdulillah Kak Haliza juga beri dorongan dan semangat kepada saya. Saya juga turut menghadiri kelas lakonan bagi memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu lakonan saya”, tambah Asha yang kini telah mula mendapat tawaran sebagai pelakon utama dalam beberapa buah telemovie dan drama yang diharap bakal menjadi anjakan besar dalam kariernya.


Baru-baru ini, Asha turut memuat naik satu video di aplikasi laman sosial tiktok yang menunjukkan transformasi fizikal beliau yang kelihatan agak berisi suatu ketika dahulu.


Asha sering diejek "Gemuk" suatu ketika dahulu.

“Zaman sekolah dahulu saya agak berisi, berat saya dalam 68kg. Saya berazam nak jadi kurus selepas selalu diusik dan diejek gemuk oleh kakak saya sendiri. Jadi kakak sayalah yang memberikan inspirasi kepada saya”.


“Selain itu, saya juga jadi bahan gurauan kawan-kawan di sekolah mengenai bentuk fizikal saya. Semua ejekan dan dorongan itu menjadi pembakar semangat untuk saya berubah. Abang ipar saya merupakan seorang “fitness trainer”, jadi saya banyak mendapatkan nasihat beliau dari segi senaman dan pemakanan. Alhamdulillah selepas itu dapat turun lebih 20kg”, ujar Asha sambil ketawa.


Mengenai tabiat sesetengah golongan dalam masyarakat yang gemar mempersenda fizikal atau body shaming orang lain, Asha merasakan perkara itu patut dielakkan.


“Tak payahlah “carut” orang, tak semua orang sempurna. Takutlah kalau-kalau mereka terasa, nanti sampai takut nak makan dan mengganggu kesihatan mereka. Nasihatilah mereka dengan cara elok, ajak bersenam ke… Insha-Allah akan bertambah sihat”.


“Paling penting kalau nak kurus, kita kena disiplin, elakkan “fast food”, elakkan makanan dan minuman manis, ambil pemakanan seimbang. Kalau cara betul, dalam masa seminggu pun kita dah boleh nampak hasilnya”, kata Asha.


Asha berharap dapat terus berlakon hingga ke Hollywood

Walaupun kini memiliki pakej lengkap sebagai seorang pendatang baru dalam industri hiburan, Asha mengakui dirinya belum begitu dikenali.


“Ya benar, saya masih belum dikenali. Tapi saya percaya kepada rezeki, mungkin Allah dah susun yang terbaik untuk saya. Harapnya dengan peranan sebagai pelakon utama dalam drama dan telemovie selepas ini, ia akan menjadi “Big Break” untuk saya”.


“Mungkin saya juga patut lebih aktif di media sosial. Selain itu, saya juga sebolehnya tidak mahu dikenali menerusi apa-apa kontroversi. Lebih selesa begini”, jawab Asha.


Asha turut berharap dirinya akan terus diberi peluang untuk mempertaruhkan bakatnya dalam bidang lakonan.


“Saya mahu terus berlakon, kalau boleh sampai ke luar negara. Kalau dapat tawaran berlakon di Hollywood, dapat jadi pokok pun bolehlah”, gurau Asha mengakhiri perbualan.


Ikuti Asha Merican di laman sosialnya.



280 views0 comments

Comentarios


bottom of page