top of page
Search
  • Writer's picturefifi izzati

Pelancaran lagu raya dan ‘Jelajah Marilah Pulang’ meriah, 13 artis tanah air bakal menemui peminat

Updated: Apr 14, 2023


Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, barisan penyanyi di bawah naungan XENO Entertainment seperti XONE, As’ad Motawh, BabyShima, Alyssa Dezek, Nana Sheme dan Amir Jahari yang menggelarkan gabungan mereka sebagai 'EnXemble' telah merakamkan sebuah lagu bertajuk ‘Pulang Beraya’.


Selain mereka, kumpulan muzik Floor 88 juga turut melancarkan sebuah lagu raya bertajuk ‘Jombalika’. Sehubungan itu, sebuah majlis pelancaran dan sidang media yang bertempat di Skyark Event Spaces telah diadakan semalam bagi memperkenalkan ‘Jelajah Marilah Pulang’ yang melibatkan 13 artis terkenal tanah air yang dijadualkan bermula 16 April hingga 13 Mei, 2023 dimana peminat berpeluang menyaksikan persembahan dan beramah mesra dengan artis kesayangan mereka di IOI City Mall Putrajaya, City Square Johor Bahru, Mydin MITC dan Kuantan Parade.



Tetamu kehormat majlis iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) XENO, Prashan Chitty dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Dydo iaitu Chan Meng turut kelihatan hadir memberikan ucapan bagi majlis pelancaran tersebut.


Artis-artis yang terlibat dengan pelancaran video muzik lagu raya ‘Pulang Beraya’ dan ‘Jombalika’ turut memeriahkan majlis dengan membuat persembahan. Selain itu, pihak media juga turut hadir bagi sesi temu ramah bersama Floor 88 dan artis-artis XENO.


Menurut Amir Jahari, selaku komposer bagi lagu ‘Pulang Beraya’, beliau mendapat inspirasi untuk menghasilkan lagu ini daripada Prashan Chitty yang menyuarakan idea untuk menciptakan sebuah lagu raya. “Prashan memberi idea untuk mengambil melodi daripada lagu lama iaitu ‘Geylang Si Paku Geylang’ dan Amir menambah baik untuk menghasilkan sebuah lagu raya,” ujar Amir.



“Lagu-lagu raya kita sekarang susah nak naik sebab tiada elemen nostalgik. Bagi Amir, lagu ini mempunyai keseimbangan antara lagu klasik dan lagu berentak moden”, tambah Amir ketika disoal tentang perbezaan lagu Pulang Beraya dengan lagu-lagu raya yang lain.


Bagi Nana Sheme, beliau berasa bangga dan gembira kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada lagu ‘Pulang Beraya’ ini dan beliau mengharapkan supaya lagu ini berjaya mendapat tempat di jiwa pendengar.


Menurut XONE, mereka tidak menyangka diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada lagu ini memandangkan mereka baru sahaja membuat kemunculan sulungnya baru-baru ini. Mereka juga menzahirkan rasa teruja untuk menemui peminat mereka di serata negeri melalui jelajah yang akan berlangsung tidak lama lagi.


Jangan lupa dengarkan ‘Pulang Beraya’ dan ‘Jombalika’ di semua platform penstriman digital dan nantikan muzik video di YouTube.


82 views0 comments

Commentaires


bottom of page