top of page
Search
  • Writer's pictureniksyafiq3

Lantang bersuara, Yuna Rahim mahu teguh dengan prinsip.


Lebih 5 tahun sejak bergelar anak seni, karier perjalanan seni aktres Yuna Rahim terus mekar dengan pelbagai tawaran yang menghujani. Ternyata, impak dan komitmen yang diberikan selama ini membuahkan hasil untuk mengukuhkan lagi nama dalam bidang seni.


Namun, figura tinggi lampai ini ternyata tidak mudah berpuas hati. Keinginan untuk terus mencabar diri dan tidak mahu berada dalam zon selesa terus menyalakan semangatnya untuk pergi lebih jauh dalam bidang yang diceburi.


“Kalau boleh, saya mahu terus berjaya sebagai pelakon, mungkin sehingga bergelar seniwati. Tapi zaman kanak-kanak dahulu, saya langsung tak pernah terfikir untuk bergelar pelakon, cita-cita asal saya sebenarnya nak jadi cikgu”, ujarnya berseloroh.


“Idola dan inspirasi saya dalam bidang seni, Sharifah Amani dan Nazim Othman. Kalau diikutkan, ramai sebenarnya, tapi saya paling minat mereka berdua yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menjayakan pelbagai watak”.


“Lagipun, saya suka karakter dan pembawaan diri Sharifah Amani. Beliau seorang yang mempunyai pegangan yang jelas, betul tetap betul, salah tetap salah. Saya terinspirasi untuk jadi sepertinya. Sesiapa yang kenal rapat dengan saya tahu yang saya jenis lantang bersuara. Cuma, bila begitu, mungkin ada sesetengah orang akan menganggap saya mementingkan diri. Jadi ada baik buruknya juga”, terang Yuna.


Sehingga kini, walaupun wajahnya sering menghiasi industri dengan kepelbagaian watak yang dijayakan, tidak banyak kisah sensasi membabitkan dirinya. Ditanya mengenai perkara ini, Yuna ternyata lebih senang dengan keadaan begitu.



“Prinsip saya, bila buat sesuatu, jangan hangat-hangat tahi ayam. Kisah-kisah sensasi ini, mungkin akan buat nama kita cepat “hangat”, tetapi kalau tiada apa yang bagus boleh ditawarkan, lama-lama akan sendu juga.”


“Biarlah lambat asalkan kita tahu apa yang kita nak atau buat dalam hidup kita. Saya tidak mengejar wang atau populariti, kerana perkara sebegitu tidak akan kekal. Always stay true to yourself. Tapi kalau ada artis lain yang mengejar perkara itu, saya tiada masalah. Masing-masing ada cara tersendiri”, tambah Yuna lagi.


Sudah menjadi perkara biasa zaman sekarang, ramai selebriti muda menjadikan populariti dan sokongan yang diraih dalam bidang hiburan sebagai platform untuk mereka berjaya dalam bidang perniagaan. Menganggap ianya sebagai strategi yang bagus, Yuna tidak menolak untuk mencuba perkara yang sama.


“Ia suatu perkara yang sangat bagus. Biasalah, dalam industri, kalau jadi heroin pun, mungkin paling lama 15 tahun sahaja. Jadi, kena ada juga back-up plan”.


“Yang penting bagi saya, I do things that I like. Kalau kita enjoy, benda itu akan kekal lama. Suatu hari nanti kalau saya ada perniagaan sendiri, mungkin saya akan lantik pekerja atau orang dipercayai untuk menjalankannya, sambil saya boleh terus berlakon”, terang Yuna penuh bersemangat.


“Saya harap saya akan terus dapat sokongan dalam industri. Walaupun kadang-kadang saya sedikit kasar, tidak seperti wanita lain. Kalau gaya pemakaian saya tidak menepati citarasa anda, saya minta maaf dan saya akan cuba menjadi lebih baik. Yang buruk datang dari saya, dan yang baik datang dari Allah. Kalau nak saya berubah, tolong doakan saya dapat hidayah”, kata Yuna sambil tersenyum menutup perbualan.


Ikuti Yuna Rahim di laman sosial:


54 views0 comments

Opmerkingen


bottom of page