top of page
Search
  • Writer's pictureniksyafiq3

Kerjasama dengan Meet Uncle Hussain, Ayda Jebat teruja bawa lagu rock.



Tidak pernah gentar untuk keluar dari zon selesa, karier nyanyian Ayda Jebat mencapai satu lagi tahap yang lebih membanggakan dengan kemunculan lagu bergenre rock, Bukan Wanita Sempurna hasil kolaborasi dengan kumpulan Meet Uncle Hussain.


Lagu ciptaan komposer terkenal Mohariz Yaakup dan Taja Meet Uncle Hussain selain Ayda sendiri, ianya adalah percubaan pertama Ayda dalam membawakan genre rock - sesuatu yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.


“Ianya adalah sesuatu yang sangat baru bagi saya. Mulanya saya agak gementar juga, tetapi hasil perbincangan dengan Taja dan kumpulan MUH (Meet Uncle Hussain), saya yakinkan diri. Lagipun, MUH adalah salah sebuah kumpulan kegemaran saya dan saya agak teruja untuk bekerjasama dengan mereka”.


“Lirik lagu ini saya tulis berdasarkan jalan cerita drama Bukan Cinta Sempurna lakonan saya sendiri. Banyak mesej yang disampaikan melalui drama tersebut mengenai emosi kisah cinta dan kekeluargaan, jadi mood terbabit saya bawakan menerusi lagu Bukan Wanita Sempurna walaupun ia disampaikan dengan irama rock”, terang Ayda.




“Lagu tersebut sudah lama dirakamkan sebagai sebuah lagu balada, tetapi ia di rock kan untuk menjadi lagu tema drama. Alhamdulillah, sangat senang bekerjasama dengan MUH. Taja pesan saya boleh jadi diri sendiri sahaja, tak perlu terlalu mencuba untuk menjadi rockers, kerana selebihnya, dia yang akan adjustkan”, tambah Ayda lagi.


Bagi Taja dan kumpulan MUH, kolaborasi ini juga merupakan satu percubaan di luar kotak untuk mereka. Segala kebimbangan awal mengenai percubaan ini diatasi dengan mudah hasil perbincangan dan komunikasi yang baik.


“Paling best pasal Ayda, beliau merupakan seorang yang solid. Apa yang dia atau dia tak suka, dia akan memberitahunya dengan jelas. Jadi sebelum proses rakaman, kita dah tweak semua arrangement, jadi prosesnya jadi mudah, lancar dan menyeronokkan”, ulas Taja.


Lagu yang menjadi tema sesebuah drama kebiasaannya akan menjadi popular dengan mudah ekoran kekerapan lagu tersebut ditayangkan di televisyen. Ditanya mengenai potensi lagu tersebut yang mungkin bakal kembali melonjakkan nama kumpulan MUH selepas agak lama menyepi, Taja tidak meletakkan apa-apa jangkaan.




“Bagi kami, waktu sekarang, kami cuma nak enjoy dengan apa sahaja muzik yang kami bawakan. Asalkan ia menyeronokkan, kami sudah tidak lagi fikir mengenai nak bawa sesuatu karya itu pergi jauh atau sebagainya. Saya rasa, kami sudah tidak ada apa lagi perlu dibuktikan”, kata Taja.


Drama tersebut yang bakal disiarkan di saluran Astro Ria setiap Isnin - Jumaat jam 6 petang bermula 31 Julai ini merupakan drama pertama lakonan Ayda selepas 4 tahun.


Anda boleh dengarkan lagu "Bukan Wanita Sempurna" ini di semua platform muzik :




41 views0 comments

Comments


bottom of page