top of page
Search
Writer's pictureniksyafiq3

Dapat jemputan Bundesliga, berhijab tidak halang Qhouirunnisa berjaya sebagai Freestyler.


Bukan sesuatu yang mudah untuk seorang wanita menceburi dan berjaya dalam bidang yang biasanya dimonopoli kaum lelaki. Apatah lagi untuk meraih kejayaan atau mendapat pengiktirafan dalam bidang tersebut.


Namun, keazaman tinggi dan minat yang mendalam menjadi dorongan buat Qhouirunnisa’ Endang Wahyudi, 22, seorang personaliti media sosial yang menjadikan sukan bola sepak gaya bebas, atau Freestyle Football sebagai salah satu sumber rezeki dan mata pencarian buatnya.


Mula mempelajari dan menceburi bidang Freestyle Football sekitar enam tahun lalu, Qhouirunnisa’ atau mesra disapa Nisa mengakui berdepan kesukaran ketika saat awal permulaan kariernya dalam sukan tersebut.


"Enam tahun lepas, ke mana sahaja saya pergi, pasti saya berdepan dengan golongan yang agak skeptikal dengan saya sebagai seorang freestyler. Maklumlah, bukan sahaja kerana saya seorang wanita, tetapi usia yang sangat muda dan penampilan saya yang berhijab menyebabkan ramai cuma memandang sebelah mata sahaja”.


“Kini, selepas 6 tahun, saya berjaya membuktikan kemampuan, dan pandangan skeptikal itu sudah tiada. Malah di mana-mana sahaja, semua orang kini berfikiran lebih terbuka”, ujar Nisa yang mengakui merupakan seorang kaki bangku sebelum aktif secara serius sebagai seorang freestyler.


“Minat mendalam saya timbul ketika menemani adik lelaki yang merupakan seorang kaki bola pergi bermain futsal setiap petang. Hati sangat teringin untuk turut serta bermain, namun tidak mendapat kebenaran dari ayah saya. Namun atas keinginan yang mendalam, saya mula cari alternatif lain. Dari situ, saya mula membuat kajian dan mengenai bola sepak dan futsal melalui Youtube. Dari Youtube, saya menemui sukan bola sepak freestyle dan mulai dari situ, saya mula mengikuti dan mempelajarinya melalui tutorial yang tersedia dalam platform tersebut. Belajar sendiri cara macam mana nak timbang bola dan sebagainya”, terang Nisa panjang lebar mengenai pembabitan awalnya.


Namun, disebalik pengiktirafan dalam sukan freestyle, Nisa mengakui tidak pernah langsung menceburkan diri dalam perlawanan bola sepak atau futsal. Malah, beliau juga tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan freestyle untuk mengelakkan percampuran atau pergaulan bebas dalam sukan yang memang dimonopoli golongan lelaki.


“Itu syarat utama ayah sebelum beliau memberi kebenaran untuk saya menceburi dan mempelajari sukan freestyle secara serius. Jadi, saya bermain freestyle untuk tatapan pengikut di media sosial sahaja. Dahulu, badan saya sedikit berisi dan saya tidak begitu gemar bersenam. Pada saya, melalui freestyle, selain menyeronokkan, ia sukan yang menyihatkan”, kata Nisa yang masih belajar dan turut mempunyai perniagaan sendiri.




Populariti yang diraih Nisa melalui sukan freestyle di media sosial memberi tuah dan rezeki buatnya. Selain tawaran iklan komersial yang datang melimpah ruah, Nisa turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila pernah mendapat jemputan khas dari pengelola liga bola sepak Jerman, Bundesliga untuk merasai pengalaman menonton perlawanan di sana.


“Nisa pernah mendapat jemputan dari Bundesliga untuk menonton perlawanan Piala Super Jerman antara Bayern Munich menentang RB Leipzig. Selain itu, mereka turut membawa Nisa bersiar-siar di bandar Leipzig bersama para influencer dan content creator lain dari seluruh dunia. Nisa turut berpeluang untuk bermesra dan bergambar bersama legenda bola sepak Jerman, Lothar Matthaus”, jelas Nisa yang ceria berkongsi pengalamannya.



“Paling seronok, saya diberi peluang untuk menonton perlawanan dari skybox atau bilik VIP yang turut menyediakan makanan yang sedap-sedap. Sebelum perlawanan, saya turut dibenarkan untuk bersiar-siar di tepi padang dan menyaksikannya dengan lebih dekat. Inshallah selepas ini saya akan ke sana sekali lagi bagi menonton perlawanan antara Bayern Munich menentang Borussia Dortmund. Kawan-kawan memang ramai yang cemburu,” ujar Nisa sambil ketawa kecil.


Selain popular sebagai seorang freestyler, gaya pemakaian Nisa turut menjadikan rujukan para wanita yang mengikuti tutorial hijabnya. Minat Nisa terhadap anime turut menjadi tumpuan ramai yang meminati gaya beliau berfesyen.


“Sebelum ini, Nisa merupakan seorang sports girl yang gemar mengenakan pakaian sukan sahaja. Sekarang, Nisa mahu campurkan gaya sukan dan fesyen untuk memberikan inspirasi kepada wanita diluar sana. Walaupun anda seorang yang aktif bersukan dan berhijab, anda masih boleh bergelar seorang fashionista. Wanita berhijab tidak patut merasa segan untuk menceburi apa-apa bidang.”



“Paling penting, apa jua bidang yang anda minati, anda perlu untuk mendedahkannya. Dari situ, hasil usaha keras, anda akan mendapat pengiktirafan. Rezeki akan sentiasa terbuka. Jangan malu untuk menjadi diri sendiri,” tambah Nisa mengakhiri perbualan.


Ikuti Nisa di laman sosial beliau:


113 views0 comments

コメント


bottom of page