top of page
Search
  • Writer's pictureniksyafiq3

Ayda Jebat Pertaruh Bakat Adik Beradik Nyanyi Lagu Raya Tambahkan Kemeriahan Syawal

Saban tahun setiap kali menjelangnya hari lebaran, pastinya halwa telinga kita akan dijamu dengan alunan lagu-lagu raya buat menambahkan lagi seri dan kemeriahan menyambut ketibaan 1 Syawal.


Selepas 2 tahun Aidilfitri disambut dalam fasa Pandemik yang membataskan banyak perkara, peralihan ke fasa Endemik kini pastinya membuatkan sambutan Hari Raya pada tahun ini akan menjadi lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini.


Bagi menambahkan lagi kemeriahan tersebut, penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat melancarkan satu projek lagu raya istimewa dengan mempertaruhkan bakat nyanyian bersama adik-adiknya, Fyna Jebat dan Sabira Jebat membentuk kumpulan vokal yang dinamakan “The Jebats”.



The Jebats: Ayda bersama dua adiknya, Fyna (kiri), dan Sabira (tengah).


Mengakui pembentukan “The Jebats” bersama dua adik perempuannya merupakan impian yang telah lama dipendam, lagu raya “Hari Raya Ya Ya Ya Ya” diharap dapat menjadi batu loncatan bagi melonjakkan trio mereka dalam industri nyanyian. Tambahan lagi, Fyna Jebat bukan nama asing dalam dunia hiburan kerana pernah memenangi tempat ketiga dalam program realiti Akademi Fantasia musim ke 9 yang disertai bersama Ayda pada tahun 2011 dahulu. “Selepas lagu ini siap, saya sebenarnya sedang berbincang mencari rakan duet, tetapi Boss XENO, Prashan bertanya jika adik-adik saya berminat untuk menyanyikan lagu ini. Jadi saya pun terus menyampaikan perkara itu kepada mereka, alhamdulillah mereka bersetuju walaupun mulanya agak terkejut!” cerita Ayda sambil ketawa.


Lagu dan lirik “Hari Raya Ya Ya Ya Ya” dicipta sepenuhnya oleh Ayda Jebat dengan gubahan muzik dari Chong Jee Yan. Selain Ayda, Fyna dan Sabira, adik lelaki mereka, Danial turut terbabit menyumbangkan suara dalam lagu tersebut.


“Mula-mula mereka ingat nyanyi suka-suka untuk letak di Instagram sahaja, tetapi bila saya cakap kena masuk studio rekod lagu dan akan shoot MV, mereka seakan tak percaya. Adik lelaki saya Danial pun ada menyanyi beberapa rangkap dalam lagu ini. Mulanya dia memang tak tahu langsung dia bakal terbabit, sewaktu hari rakaman, saya ajak dia ke studio sekali, tiba-tiba kena nyanyi!” tambah Ayda lagi.


Selepas kali terakhir mereka menyanyi dan membuat persembahan bersama adalah ketika semua masih di bangku sekolah kira-kira 13 tahun lalu, Ayda mengakui mempunyai perancangan yang lebih besar sekiranya percubaan sulung mereka ini berjaya. “Insya-Allah, kalau semua berjalan lancar, mungkin kami akan keluar dengan lagu yang lebih commercial di masa hadapan,” ujar Ayda.


OK guys! Jom kita layan MV istimewa Hari Rayayayayaya arahan Nabil Mahir di Youtube:




71 views0 comments

Comentários


bottom of page