top of page

“Saya sangat nervous menanti reaksi peminat. Saya rasa bersyukur akhirnya segala perkara yang dirancang selama ni telah jadi kenyataan. Saya dah fikir 1001 kemungkinan yang bakal terjadi, kalau-kalau dah dibandingkan dengan sesiapa atau apa-apa produk lain. Tapi saya dah bersedia untuk menerima segalanya. Kalau dikritik, back up point pun dah ada.”


Itu reaksi spontan dari Syada Amzah, 25, ketika ditanya perasaan beliau mengenai kemunculan single pertama, Hasrat, yang secara rasminya menemui peminat muzik hari ini (17 Mac 2023) di semua platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Deezer dan juga KKBOX.


Hasrat, yang merupakan ciptaan bersama Syada bersama kakaknya, Shila Amzah, diharap membuka ruang rezeki yang lebih luas untuk Syada dalam bidang nyanyian.


Walaupun berdebar memikirkan mengenai penerimaan umum, Syada gembira dan teruja beliau akhirnya mempunyai lagu dan produk sendiri untuk dibanggakan.


“Sebelum ini, secara jujurnya, saya tidak pasti kalau saya boleh dianggap sebagai seorang penyanyi. Memang lah sebelum ini saya pernah menyertai pertandingan realiti nyanyian, dan banyak menyanyikan lagu-lagu cover di Youtube dan sebagainya, tapi hanya setakat itu sahaja lah.”


“Dengan kemunculan lagu Hasrat, I’m proud to call myself a singer! Keyakinan diri saya pun bertambah!” terang Syada yang jelas teruja dengan kemunculan single pertamanya.


Ditanya mengenai pendapat dan reaksi ahli keluarga mengenai single pertamanya ini, anak bongsu kepada Dato’ ND Lala dan adik kepada Shila Amzah ini bersyukur dengan sokongan dan dorongan yang diberikan.


“Kakak tak komen banyak. Cuma dia memang suka sebab lagu “kena” dengan suara saya. Sebelum rakaman lagu Hasrat, saya ada banyak merakam beberapa lagu demo namun tak pernah rasa ada yang betul-betul sesuai, rasa macam tak serasi. Selepas menyiapkan dan merakam lagu Hasrat, terus rasa lagu dan genrenya betul-betul sesuai dengan jiwa saya”.


“Ayah saya pula, beliau belum betul-betul mendengar lagu dalam versi yang sudah siap. Disebabkan kesibukan beliau dalam aktiviti seharian, kalau terjumpa pun, kami tidak bercakap pasal kerja, ataupun lagu. Lebih banyak bercakap pasal makanan”, terang Syada sambil ketawa.



Seperkara menarik mengenai Hasrat, rangka lagu ini telah disiapkan terlebih dahulu oleh Shila Amzah sebelum beliau menyiapkan Patah Seribu, lagu yang telah melonjak dan mengukuhkan nama beliau dalam industri nyanyian.


“Jadi bila saya “sambung” untuk memberikan lebih “colour” kepada lagu Hasrat, saya bekerjasama dengan kakak untuk membuatkan lagu tersebut lebih sesuai dengan saya,” kata Syada.


Sebagai penyanyi, sudah pasti Syada turut mempunyai impian dan jangkaan tersendiri mengenai Hasrat. Di sudut hati, walaupun tidak begitu mengharap, beliau mengimpikan lagu ini boleh pergi jauh.


“Angan-angan untuk lagu ini memenangi anugerah atau ke pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu tetap ada, tapi saya memang tak fikir sangat pasal populariti, cuma berharap orang akan enjoy bila mendengar lagu ini. Cuma, kalau ada rezeki, saya harap lagu ini boleh jadi evergreen, yang diminati peminat sepanjang zaman. Kalau evergreen, jadi one hit wonder pun tak apa!”, ujar Syada berseloroh.


“Sebarang kekurangan, saya akan cuba perbaiki di masa hadapan,” tambah beliau lagi.


Dengarkan Hasrat di Spotify, Apple Music, Youtube Music, Deezer dan juga KKBOX serta ikuti Syada Amzah di laman sosial beliau.



31 views0 comments

Usia 24 tahun mungkin ibarat seperti setahun jagung bagi sesetengah individu, namun bagi pelakon dan model Elisya Sandha, beliau sudah mencapai pelbagai pencapaian di usia muda tersebut. Selain daripada membintangi lebih daripada 40 filem, drama dan telefilem, beliau juga telah berkahwin pada 21 Ogos 2021 dan dikurniakan seorang puteri bernama Bunga Elhaq pada Jun tahun lepas.


Kehidupan berumah tangga semestinya memerlukan komitmen dan tanggungjawab yang lebih berbanding kehidupan ketika bujang. Sama seperti Elisya, beliau juga mengakui pelbagai perubahan dirasakan sebelum dan selepas berkahwin.


“Lepas dah kahwin dan dah ada anak ni memang rasa lain sikit, dari segi tanggungjawab dan masa agak berbeza daripada zaman-zaman ketika single. Perbezaan yang paling ketara adalah dari segi masa. Kalau saya nak keluar berjumpa dengan kawan-kawan pun agak terhad. Kalau dulu time still single, nak pergi mana-mana anytime pun boleh. Tapi sekarang dah agak terhad sebab saya pun dah ada priority lain which is my family!” ujar Elisya mengenai perubahan yang dirasainya sebelum dan selepas berumah tangga.



Umum mengetahui Elisya Sandha telah sah bergelar isteri kepada Uzair Haqimy Azman yang juga merupakan anak lelaki kepada Sheila Rusly. Selain dikenali ramai sebagai penerbit drama, Sheila Rusly juga terkenal dengan kemahiran memasaknya dan mengacarakan beberapa rancangan masakan. Disebabkan itu, banyak tumpuan diterima oleh Elisya selepas bergelar menantu kepada Sheila Rusly. Namun, Elisya berkongsi beliau tidak merasakan sebarang tekanan seperti yang diwarkan-warkan di media sosial.


“Ramai orang cakap Sheila Rusly ni garang kan? Tapi bagi Elisya, saya rasa ibu mentua saya sangat sangat baik, dia nampak sahaja garang tapi sebenarnya hati dia sangat baik! Kalau orang yang tak kenal dia, orang akan rasa pressure dengan kehadiran dia kan? Tapi sebenarnya dia sangat penyayang dan memahami Elisya. Kadang-kadang kalau Elisya tak pandai buat sesuatu benda tu, dia akan ajar saya macam mana nak buat. Dia tidak lah judge saya terus. Itu character dia, seorang yang sangat garang dan straight-forward tapi sebenarnya dia orang yang sangat baik!,” jelas Elisya perasaannya selepas bergelar menantu kepada Sheila Rusly.


“Saya ingat lagi first time saya jumpa ibu mertua saya dulu, tangan saya menggeletar! Masa tu, saya duduk dalam kereta je and rasa taknak keluar sebab saya terlalu takut sampai suara pun tak keluar. Saya dah overthink masa tu, tapi sebenarnya dia okay je! Dia fun. Tapi kalau first impression tu mungkin sesetengah akan rasa dia garang tapi bila dah kenal tu dia sangat baik dan penyayang,” kongsi Elisya ketika pertama kali berjumpa ibu mertuanya.


Sudah menjadi kelaziman bagi menantu memikat hati bakal ibu mertua untuk meninggalkan tanggapan pertama yang baik. Elisya Sandha juga sempat berkongsi 3 rahsia untuk memenangi hati keluarga mertuanya.


“Masa saya bertunang dulu, saya lebih banyak ambil hati ibu mertua sebab saya rasa lebih penting untuk saya menangkan hati family dia dulu. Apa yang saya buat untuk menangkan hati ibu mertua, first sekali saya belajar masak dengan dia, saya borak dengan dia dan secara kebetulan apa yang dia suka, saya pun suka juga, dari situ baru saya tahu Sheila Rusly ni sebenarnya baik dan penyayang.


Character suami dan ibu mertua saya ni macam copy and paste, memang sama sangat. Kalau kena pilih mana lagi susah nak pikat hati antara dua tu, jawapannya keduanya sama susah. Both of them garang and straight-forward. Tapi, saya try to get along with both of them dan Alhamdulilah sekarang dah terbiasa and semuanya okay sahaja!” jawab Elisya ketika ditanya mengenai cara beliau memikat hati suami dan ibu mentuanya.


Sebagai wanita yang mementingkan kerjaya, Elisya tidak menolak ketepi tanggungjawab sebagai seorang anak seni walaupun sudah berkeluarga. Elisya akui sebagai seorang yang aktif, beliau cuba menyibukkan dirinya dengan pelbagai aktiviti walaupun ketika berbadan dua.


“Masa saya pregnant 5 bulan, saya masih berlakon, main boling dan banyak lagi! Selepas bersalin baru saya take a break sekejap. Lepas 3 bulan habis pantang, saya terus sambung shoot untuk drama dan saya try to keep myself busy sebab saya dah lama berehat. Baru-baru ini, saya baru habis penggambaran untuk drama ‘Jodoh Duda I’ yang akan bersiaran bulan puasa nanti!


“Tapi buat masa sekarang, ada satu drama saya tengah tayang dekat TV3 iaitu ‘Serpihan Sayang’ dekat Slot Samarinda,” kongsi Elisya mengenai kerjanya sebagai seorang pelakon sekaligus mengakhiri perbualan.



Ikuti Elisya Sandha di media sosialnya:


12 views0 comments

Peredaran zaman yang kian membangun mewujudkan pelbagai aplikasi media sosial yang lebih menarik. ‘Tiktok’ adalah salah satu media sosial yang dijadikan saluran bagi penggunanya mengekspresikan kreativiti mereka. Berumur 23 tahun, gadis yang mesra dikenali sebagai Lyn Elissa membuat keputusan untuk memuat naik video mengenai fesyen di ‘Tiktok’.


Lyn Elissa mempunyai citarasa fesyen yang tinggi mengambil peluang keemasan ini untuk membuat kandungan berkenaan fesyen di TikTok dan rata-rata video beliau meraih sehingga 1 juta penonton. Lisa juga berkongsi beliau banyak mengambil sumber inspirasi daripada model fesyen antarabangsa.


“Ramai yang saya jadikan inspirasi. Dari United Kingdom dan Amerika Syarikat, saya mengikuti ramai model fesyen antarabangsa. Malaysian fashion pun okay juga tapi in my opinion they takes a lot of inspiration from outside,” ujar Lisa apabila ditanya mengenai sumber inspirasi fesyennya.


Menyimpan hasrat untuk berkecimpung dalam industri fesyen, Lisa berkongsi beliau sememangnya meminati fesyen sejak di bangku sekolah lagi.



“Saya meminati fesyen sejak dulu, dari saya kecil lagi. Saya masih ingat dulu saya selalu melukis baju dan lain-lain lagi. Sejak dari tu, saya ada bercita-cita untuk menjadi seorang pereka fesyen,” kongsi Lisa tentang minatnya mengenai fesyen sejak kecil.


Bagi seseorang yang mempunyai minat yang mendalam terhadap fesyen, iainya lazim untuk mempunyai beberapa barang berkaitan dengan fesyen yang wajib dimiiki. Sama seperti Lisa, beliau turut berkongsi 3 perkara penting untuk dirinya miliki sebagai seorang pencinta fesyen.


“Bagi saya, 3-must haves fashion items are blazer, bag and nice trousers! Saya suka jenama pakaian seperti ‘Zara’ dan ‘Mango’ kerana kebanyakkan pakaian mereka bersesuaian dengan gaya fesyen saya which is office looking style and sometimes look like a business woman style,” jelas Lisa.



Pastinya ramai yang meminati fesyen beliau sehinggakan akaun TikToknya menerima sehingga 46.6 juta ‘likes’ dan 1.1 juta pengikut. Disebabkan itu, Lisa menyahut cabaran untuk mencuba pelbagai gaya fesyen demi pengikut dan penonton video Tiktoknya. Lisa berkongsi bahawa beliau baru sahaja beralih kepada gaya fesyen yang baru.


“Saya baru-baru ini mencuba style fashion yang lain daripada lain. Kalau dulu, selalunya saya berpakaian mengikut trend tetapi sekarang saya lebih meminati fesyen seperti ‘old-money’ and ‘Parisian’ style,” kongsi Lisa mengenai gaya fesyennya yang terkini sekaligus mengakhiri perbualan.



Ikuti Lyn Elissa di media sosialnya:



67 views0 comments
bottom of page